Terma Dan Syarat Untuk Mengambil Bahagian Dalam Skim Baucar Majlis Pembangunan Masyarakat
As of March 2025
TERMA DAN SYARAT UNTUK MENGAMBIL BAHAGIAN DALAM SKIM BAUCAR MAJLIS PEMBANGUNAN MASYARAKAT (selepas ini dirujuk sebagai “Skim”)
Dengan mengambil bahagian dalam Skim ini (termasuk sebarang bahagian lanjutan Skim yang diumumkan oleh pemerintah), anda bersetuju untuk terikat secara sah oleh Terma dan Syarat di bawah, serta sebarang perubahan yang mungkin dibuat dari semasa ke semasa.
Skim ini juga mungkin termasuk skim baucar seluruh negara yang dikendalikan oleh pemerintah atau agensi pemerintah yang lain. Terma dan Syarat di bawah juga akan digunakan bagi skim tersebut untuk tempoh yang ditetapkan, seperti berikut:
a. Dalam klausa 2 hingga 7, rujukan kepada “Baucar CDC” atau “baucar” akan termasuk baucar yang dikeluarkan di bawah skim baucar di seluruh negara; dan
b. Dalam klausa 6, 7 dan 11, rujukan kepada “Persatuan Rakyat”, “PA” atau “PA (melalui CDC)” akan merangkumi pemerintah atau agensi pemerintah yang mentadbir skim baucar di seluruh negara.
Anda akan dimaklumkan tentang sebarang perubahan pada Terma dan Syarat ini.
1 Pelekat CDC (yang disertakan dalam kit penyertaan ini) harus dipamerkan dengan jelas di bahagian hadapan kedai sejurus selepas anda menerima kit ini untuk keseluruhan tempoh penyertaan anda dalam Skim ini. Kedai anda yang memaparkan pelekat Baucar CDC akan dirujuk sebagai “Premis” dalam Terma dan Syarat ini.
2 Apabila pelekat Baucar CDC dipamerkan, anda bersetuju untuk menerima semua baucar yang dikemukakan oleh pemegang baucar (iaitu penduduk), dan tidak boleh menyekat atau mengehadkan hari atau masa di mana Baucar CDC diterima di Premis anda.
3 Skim ini dijalankan secara digital. Untuk membuat penebusan, pemegang baucar (iaitu penduduk) akan menunjukkan kod QR kepada anda. Sebelum menerima baucar digital untuk tujuan penebusan, anda harus berusaha sedaya upaya untuk memastikan bahawa semua penebusan baucar mematuhi terma dan syarat berikut:
(a) baucar tidak boleh digunakan untuk membeli loteri, petrol, disel, arak atau rokok;
(b) baucar tidak boleh ditukar dengan wang tunai atau baucar hadiah dan tidak boleh dijual semula;
(c) lebih daripada satu baucar boleh digunakan dalam satu transaksi;
(d) sebarang jumlah/nilai baucar yang tidak digunakan tidak akan dikembalikan; dan
(e) baucar tidak boleh diperbaharui selepas tamat tarikh luput. Tarikh luput adalah muktamad.
4 Segelintir pemegang baucar (iaitu penduduk) mungkin menunjukkan baucar fizikal dalam bentuk cetakan untuk membuat penebusan. Dalam kes sedemikian, anda harus berusaha sedaya upaya untuk memastikan bahawa cetakan baucar yang telah tamat tarikh luput, cacat, rosak, baucar yang dicuri, baucar salinan atau palsu, tidak diterima untuk penebusan.
5 Penebusan baucar akan dijalankan melalui aplikasi RedeemSG Merchant. Penggunaan aplikasi RedeemSG Merchant adalah tertakluk kepada terma dan syarat yang berasingan, yang boleh didapati di aplikasi RedeemSG Merchant dan di https://redeem.gov.sg. Anda akan menerima bayaran balik untuk baucar yang telah ditebus melalui PayNow (atau mod perbankan dalam talian yang serupa) dalam masa 1 hari selepas penebusan direkodkan dalam aplikasi RedeemSG Merchant.
6 Sekiranya baucar yang ditebus telah didapati disalahgunakan, dicuri, dipalsukan, rosak, cacat atau diubahsuai, Persatuan Rakyat (“PA”) berhak untuk tidak membuat bayaran untuk baucar tersebut atau mendapatkan kembali bayaran yang telah dibuat untuk baucar tersebut daripada anda (mengikut kes-kes yang berkenaan).
7 Sekiranya mana-mana peniaga/penjaja yang mengambil bahagian dalam Skim ini didapati telah menyalahgunakan, memalsukan, merosakkan, mencacatkan atau mengubahsuaikan baucar atau cetakan baucar, peniaga/penjaja tersebut perlu membayar PA (melalui CDC) nilai baucar tersebut dan kerugian lain yang dialami oleh PA akibat tindakan peniaga/penjaja tersebut.
8 Sebarang penyalahgunaan/pengubahsuaian/pemalsuan baucar boleh menjadi kesalahan jenayah dan pesalah akan didakwa di mahkamah.
9 Semua data termasuk maklumat hubungan perniagaan (seperti yang dinyatakan dalam Akta Perlindungan Data Peribadi 2012) dan data peribadi (jika ada) yang dikumpulkan akan digunakan dan didedahkan kepada agensi pemerintah yang lain (seperti Govtech) untuk tujuan pengurusan Skim ini. Walaupun kami hanya memerlukan maklumat hubungan perniagaan anda (seperti butiran akaun bank, maklumat hubungan dan UEN yang digunakan oleh perniagaan anda), kami mungkin menerima maklumat peribadi anda (seperti No. Kad Pengenalan anda) sekiranya anda memilih untuk memberikan maklumat tersebut kepada kami sebagai ganti maklumat hubungan perniagaan anda.
10 Sebagai peniaga/penjaja yang menyertai Skim ini, anda bersetuju bahawa anda tidak akan, dan akan memastikan pekerja anda tidak akan, menjalankan sebarang aktiviti di Premis anda yang menyalahi undang-undang, tidak bermoral, berdiskriminasi, menyinggung perasaan atau selainnya yang mungkin memberi nama buruk kepada Skim dan/atau Persatuan Rakyat (PA). PA berhak untuk mengambil tindakan segera yang difikirkan sesuai dalam keadaan sedemikian.
11 Peniaga/penjaja yang mengambil bahagian dalam Skim ini adalah bertanggungjawab untuk menyelesaikan sebarang masalah atau pertikaian yang mungkin timbul antara mereka dan pemegang baucar (iaitu penduduk). PA (sebagai penerbit baucar) tidak akan bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah atau pertikaian tersebut, atau sebarang tuntutan, permintaan, kerugian, kos, perbelanjaan dan/atau liabiliti dalam bentuk apa pun, yang timbul daripada atau berkaitan dengan sebarang transaksi atau urusan antara peniaga/ penjaja yang mengambil bahagian dalam Skim ini dan pemegang baucar.
12 PA berhak untuk menamatkan penyertaan anda dalam Skim pada bila-bila masa tanpa notis bertulis terlebih dahulu. PA tidak akan bertanggungjawab kepada anda untuk sebarang kerosakan atau pampasan akibat daripada penamatan tersebut. PA juga tidak perlu memberikan sebarang sebab bagi penamatan tersebut. Penyertaan anda dalam Skim akan dihentikan pada tarikh yang dinyatakan dalam notis bertulis dan anda mesti mengeluarkan pelekat Baucar CDC dari Premis anda pada tarikh yang sama.
13 Terma dan Syarat ini akan ditadbir dan ditafsirkan mengikut undang-undang Singapura.